MACHANG - Kerajaan Negeri memperuntukkan RM17 juta membeli bangunan baru bagi menempatkan penuntut-penuntut Kelantan di Mesir.
Pengerusi Penaja Alumni Keluarga Pelajar Kelantan Mesir (KPKM), Zulkifli Mat Yusoff berkata, bangunan tersebut dijangka siap sepenuhnya pada bulan Mac depan.
Katanya, bangunan sembilan tingkat di Kaherah itu juga mampu menempatkan sehingga 450 penuntut dalam satu masa.
"Lebih kurang 120 hingga 150 penuntut Kelantan yang menyambung pengajian di Mesir setiap tahun termasuklah dalam bidang perubatan.
"Dengan adanya kemudahan ini, kami berharap mampu memberikan kemudahan kepada penuntut-penuntut yang terlibat," katanya kepada Sinar Harian selepas Majlis Perasmian Alumni Keluarga Penuntut Kelantan Mesir di Kompleks Markaz Dewan Ulamak (Madu), Labok, di sini kelmarin.
Majlis tersebut dirasmikan Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Perjumpaan julung kali alumni tersebut, berjaya mengumpulkan lebih 100 penuntut dan KPKM berhasrat mengumpulkan semua penuntut Mesir dalam masa terdekat.-www.sinarharian.com.my